Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan beramah mesra bersama ahli UMNO selepas selesai perjumpaan ketika di Villa d'aqua, Masjid Tanah, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 05 OKTOBER 2021.

MASJID TANAH – UMNO hari ini mengeluarkan surat perlucutan jawatan terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka iaitu ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, status kedua-dua mereka sudah gugur secara automatik apabila mereka sepentas dengan ahli-ahli parti lain.

“Kita telah arahkan Setiausaha Agung untuk menulis surat kepada beliau bahawa dalam pindaan Perlembagaan UMNO yang telah kita buat dan luluskan dalam PAU (Perhimpunan Agung UMNO) tahun lepas bahawa sesiapa yang berada di atas pentas atau mewakili parti atau membuat perkara bertentangan dengan parti maka dia terlucut keahlian dengan sendirinya tidak payah pecat dia.

“Tapi kita tulis surat mengatakan keahliannya terlucut secara sendiri mengikut peraturan dalam perlembagaan kita,” katanya ketika ditemui media sebentar tadi.

Menurut Mohamad, surat perlucutan keahlian itu diserahkan UMNO menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, petang tadi.

Idris awal hari ini mendakwa beliau masih lagi ahli UMNO yang sah kerana tidak menerima sebarang notis atau surat rasmi mengenai pengguguran keahliannya daripada ibu pejabat parti.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, kenyataan dibuat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhubung kedudukannya sebagai ahli UMNO adalah tidak relevan.

Idris antara empat ADUN Melaka yang bertindak menarik balik sokongan terhadap Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengakibatkan kerajaan negeri hilang majoriti.

Ia sekali gus menyebabkan DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa semalam.

Perkara itu diumumkan Ab. Rauf yang juga Yang Dipertua DUN setelah memaklumkan keputusan yang dibuat Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam. – MalaysiaGazette