Majlis pelancaran baucar pelancongan menggunakan aplikasi Pahang Go bertempat di Majlis Perbandaran Bentong dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Sebanyak 2,000 keping baucer pelancongan bernilai RM50,000 boleh ditebus menerusi aplikasi Pahang Go bagi melonjakkan industri pelancongan domestik dan mempromosikan destinasi tumpuan pelancong di Pahang,

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, aplikasi Pahang Go mendapat sambutan dalam kalangan penduduk negeri itu yang mana terdapat lebih 50,000 muat turun direkodkan sebelum ini.

“Pemberian baucar pelancongan ini akan meningkatkan lagi penggunaannya selain memberi impak kepada kedua-dua pihak.

“Kerjasama ini meningkatkan lagi bilangan penggunaan baucar pelancongan yang boleh didapati lebih daripada 100 hotel-hotel terpilih iaitu terdiri daripada hotel-hotel bajet.

“Dengan pemberian baucar pelancongan yang berupa diskaun bagi hotel-hotel terlibat, pastinya akan menambah lagi minat pengunjung ke hotel-hotel tersebut dan secara tidak langsung akan merancakkan lagi sektor pelancongan,” katanya.

Sebanyak 1,000 baucar bernilai RM20 dan 1,000 baucar bernilai RM30 akan diedarkan kepada orang ramai.

Tambah beliau, kaedah tersebut juga dapat menarik pelancong dari luar Pahang apabila sempadan negeri dibuka semula dalam masa terdekat.

Menurut Mohd Sharkar, jika mendapat sambutan, Tourism Pahang akan menambah baik baucar pelancongan daripada segi nilai dan kuantiti pada masa akan datang. – MalaysiaGazette