Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon mahkamah untuk memulangkan sementara pasportnya.

Ini kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu mahu mendapatkan rawatan pakar perubatan bagi sakit belakang dan leher di Munich.

Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Ahmad Zahid telah menggunakan perkhidmatan pakar di negara itu pada 2013 hingga 2016.

Peguam mewakili Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh berkata, anak guamnya sekali lagi mengalami sakit belakang dan leher dan perlu ke Munich bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Kami telah membuat permohonan ini untuk membolehkan tertuduh menerima rawatan sebab rawatan intervensi di Malaysia tidak mencukupi untuk kurangkan sakit beliau,” katanya pada pengurusan kes hari ini.

Permohonan itu telah difailkan pada 4 Oktober lepas.

Pendakwaan juga tidak membantah permohonan Ahmad Zahid itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Lawrence Sequerah kemudian menetapkan Isnin depan bagi keputusan tersebut.

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu berhadapan dengan 47 pertuduhan iaitu 27 kes pengubahan wang haram, 12 kes pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi miliknya. -MalaysiaGazette