Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes berprofil tinggi yang digugurkan oleh Tan Sri Tommy Thomas ketika memegang jawatan Peguam Negara akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sendiri akan membawa cadangan itu dalam dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

“Perkara itu adalah di bawah bidang kuasa Jemaah Menteri. Jadi, saya tidak boleh menjawab mengenai RCI berkenaan jika tiada arahan Kabinet kerana ia ditetapkan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Insya-Allah saya sendiri akan membawa cadangan berkenaan kepada Jemaah Menteri (dalam masa terdekat) bagi mengetahui sama ada perlu atau tidak diwujudkan RCI bagi menyiasat isu terbabit,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN) meminta kerajaan mempertimbangkan penubuhan RCI bagi menyiasat kes berprofil tinggi yang digugurkan oleh Tommy.

Berikutan itu, Abdul Azeez membidas tindakan pembangkang mempersoalkan keputusan mahkamah kononnya berpihak kepada pemimpin UMNO dalam keputusan dibuat institusi berkenaan baru-baru ini. – MalaysiaGazette