Datuk Bandar,Datuk Noorazam (tengah) ketika menyertai Operasi Menyelamat Orang Papa (Gelandangan dan Pengemis) sekitar pusat bandaraya ini malam tadi.

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menyelamatkan 34 gelandangan dan pengemis dengan menempatkan mereka di Dewan Serbaguna Pusat Perlindungan Wanita Taman Perling, di sini, malam tadi.

Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berkata, kesemua individu itu dikesan ketika Operasi Menyelamat Orang Papa (Gelandangan dan Pengemis) di sekitar Johor Bahru bermula jam 11 malam.

Gelandangan dan pengemis berkenaan akan menjalani saringan menyeluruh daripada segi Covid-19 termasuk pemeriksaan kesihatan, penyalah gunaan bahan terlarang dan rekod kendiri, tambahnya.

“Setelah mereka menerima keputusan lengkap saringan berkaitan, mereka akan ditempatkan di Dewan Serbaguna Pusat Perlindungan Wanita Taman Perling dan sebahagian daripada mereka akan diserahkan kepada agensi berkaitan.

“Sehingga ke Fasa 3 ini, 87 orang gelandangan diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi bersepadu itu disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

Dalam pada itu, MBJB juga menyediakan peruntukan pelaksanaan program itu bagi memastikan bantuan sokongan kepada golongan gelandangan yang akan ditempatkan di Dewan Serbaguna Pusat Perlindungan Wanita Taman Perling teratur.

Peruntukan melibatkan pembaikan dan ubah suai bangunan, penyediaan keperluan peralatan pembersihan diri, keperluan bilik tidur dan tuala, perkhidmatan dobi, utiliti, perubatan serta elaun harian petugas.

Katanya, ini adalah sebahagian usaha melindungi warga bandar raya itu daripada wabak Covid-19 dan memelihara kebajikan setiap warga Johor Bahru. – MalaysiaGazette