JOHOR BAHRU – Sebilangan penunggang p-hailing di bandar raya ini dikesan tidak mempunyai lesen memandu.

Selain itu mereka juga sering tidak mematuhi lampu isyarat merah.

Menurut kenyataan jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, pihaknya mengesan kedua-dua kesalahan itu menerusi satu operasi pemantau yang dilakukan dalam tempoh kurang dua jam semalam.

Sebanyak 25 notis kompaun dikeluarkan dalam waktu yang singkat menunjukkan kesedaran terhadap keselamatan jalan raya dalam kalangan penunggang perkhidmatan p-hailing adalah rendah, ujarnya.

“JPJ telah menerima banyak aduan mengenai penunggang perkhidmatan p-hailing berkenaan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Sehubungan dengan itu, Seksyen Operasi, Bahagian Penguatkuasa JPJ Johor telah menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di lokasi ‘hotspot’.

“Tujuannya adalah untuk mengesan ketidakpatuhan tujuh kesalahan utama jalan raya yang menjadi punca kemalangan maut,” kata kenyataan itu, hari ini.

Mereka yang dikenakan notis kompaun berdepan denda maksimum RM300 jika disabitkan kesalahan.

Pemeriksaan JPJ

Katanya, advokasi merupakan tindakan berhemah dengan memberi nasihat kepada penunggang p-hailing supaya menitikberatkan pematuhan peraturan jalan raya dan keselamatan semasa menjalankan perkhidmatan penghantaran.

Berikutan itu, tambahnya, aktiviti penguatkuasaan dan advokasi dijalankan secara berterusan di seluruh Johor bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan terhadap pematuhan peraturan jalan raya. – MalaysiaGazette