Pengarah LPP Negeri Johor, Datuk Sawalludin Ahmad (kiri) menyampaikan kepada Ketua Polis Jobor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai tanda penghargaan jasa pihak polis menangani kes Covid-19 di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Johor menyasarkan jualan satu juta botol minyak masak jenama Peladang dalam tempoh setahun pengeluarannya.

Pengarahnya, Datuk Sawalludin Ahmad berkata, bagi tujuan itu pihaknya akan menjual produk minyak masak di bawah harga pasaran.

“Harga RM28.50 bagi lima kilogram minyak masak berbanding RM29.70 harga di pasaran manakala bagi minyak masak dua kilogram kita akan jual dengan harga RM12.50 berbanding RM12.70 harga asal.

“Kami juga menyasarkan akan memasuki penjualan di pasar raya-pasar raya besar untuk jualan minyak masak Peladang,” katanya  selepas program MAFI Prihatin Hargai Jasa dan Pengorbanan Petugas Barisan Hadapan di sini hari ini.

Sumbangan MAFI Prihatin telah diserahkan kepada Ketua Polis Jobor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai tanda penghargaan jasa pihak polis menangani kes Covid-19 di negeri itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, Filipina dan Singapura juga menunjukkan minat untuk memasarkan produk minyak masak keluaran LPP.

Sawaluddin berkata, minyak masak Peladang itu sudah pun mula dipasarkan di semua premis Peladang selain pasar raya terpilih sejak 9 September lalu.

Katanya, minyak masak yang dikeluarkan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Simpang Renggam itu juga sudah mula menembusi pasaran negeri lain termasuk Pahang, Negeri Sembilan, Melaka serta Perak.

“Buat julung kalinya, LPP Negeri Johor menerusi PPK Simpang Renggam mengeluarkan produk minyak masak kami sendiri dengan jenama Peladang.

“Kita mengeluarkan minyak masak dengan jenama sendiri sebagai langkah proaktif untuk melengkapkan rantaian produk makanan dikeluarkan LPP Negeri Johor.

“LPP mempunyai rangkaian pasaran yang luas kerana mempunyai 30 Pergerakan Pertubuhan Peladang, 700 unit peladang selain 106,484 ahli Peladang seluruh negara,” katanya

Sejak dipasarkan 9 September lalu, PPK Simpang Renggam yang mempunyai dua kilang sawit di Kahang sudah mengeluarkan 46 tan minyak sawit untuk pasaran tempatan.-MalaysiaGazette