PDRM MACC Rohana Rozhan Tim Leissner 1MDB scandal corruption US$10 million London home ex-lover
Bukit Aman Criminal Investigation Department (CID) Director, Datuk Seri Abd Jalil Hassan. PIX: HAFIZ SOHAIMI / MalaysiaGazette / 03 JULY 2021 Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan .Foto HAFIZ SOHAIMI, 03 JULAI 2021

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung satu klip video tular penceramah yang didakwa berbaur penghinaan agama dan kaum baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, video berdurasi satu minit yang mula tular di beberapa aplikasi media sosial sejak beberapa hari yang lalu itu dikatakan mengundang kemarahan orang ramai.

“Siasatan penularan video adalah melibatkan ceramah oleh Ustaz Mohd Syakir Nasoha dan ia sedang dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman.

“Siasatan sedang dilakukan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Tambah Abd Jalil, penceramah bebas itu juga sedang disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Justeru polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.

“PDRM turut menasihatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama serta kaum.

“Orang ramai digesa agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform media sosial sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” tegasnya.

Sebelum itu, menurut laporan beberapa portal, Ustaz Mohd Syakir menjelaskan kenyataannya diambil dari luar konteks sehingga menyebabkan ramai terkeliru. MalaysiaGazette