Shamsul Anuar dalam hantaran media sosialnya juga turut memuatnaik gambar tular keempat-empat ADUN di Melaka itu bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – UMNO perlu tegas dan memilih calon pilihan raya yang betul-betul setia selepas ini bagi mengelak kemelut politik di Melaka berulang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, calon parti itu juga mesti berpinsip supaya maruah parti tidak digadai.

“Justeru tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO sangat tidak wajar kerana itu atas apa pun alasan yang mereka beri ianya tetap salah.

“Mana boleh mengheret parti, apatah lagi bersekongkol bersama musuh parti bagi menjayakan matlamat peribadi,” katanya dalam hantaran Facebooknya malam ini.

Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah .

Menurut Shamsul Anuar, Perlembagaan UMNO Perkara 10.6 sangat jelas dan sebab itu parti memecat keahlian mereka sangat tepat.

“Kerana UMNO tidak perlukan pemimpin seumpama ini. Pemecatan ini juga bukti UMNO tidak bersetuju tindakan itu. Semuanya menyusahkan rakyat dan merugikan parti,” katanya.

Dua wakil rakyat dari UMNO itu adalah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Kedua-dua mereka bersama dua lagi wakil rakyat Bersatu dan bebas iaitu ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad menarik sokongan kepada kerajaan negeri sehingga membawa kepada pembubaran DUN Melaka baru-baru ini.

Shamsul Anuar dalam hantaran media sosialnya juga turut memuatnaik gambar tular keempat-empat ADUN di Melaka itu bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.- MalaysiaGazette