Noh Omar

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan menubuhkan Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi di setiap kawasan Parlimen.

Langkah itu bagi membolehkan maklumat serta peluang yang disediakan agensi di bawah MEDAC itu sampai kepada rakyat, kata menterinya, Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata, banyak program dilaksanakan kementerian untuk membantu rakyat yang mahu menceburi bidang keusahawanan dan usahawan perindustrian kecil dan sederhana (PKS) namun kadangkala tidak diketahui golongan sasar.

“Berikutan itu, melalui majlis ini, yang akan mempunyai pengerusi dan urus setianya, semua agensi di bawah kementerian seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (TEKUN Nasional) akan diletakkan di bawahnya.

“Kita juga akan membabitkan pemimpin tempatan untuk membantu dan menyampaikan maklumat mengenai peluang yang ada di bawah MEDAC,” katanya ketika sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu Noh berkata, MEDAC turut menyediakan skim pembiayaan kepada usahawan perindustrian mikro kecil dan sederhana (PKMS) yang gulung tikar akibat pandemik Covid-19 bagi memulihkan semula perniagaan mereka.

Beliau berkata, antaranya adalah Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro 2.0 (CBRM 2.0) di bawah TEKUN yang menyediakan pembiayaan sehingga RM20,000, Skim Pembiayaan PKS BRFlex-i di bawah Bank Rakyat dengan pembiayaan sehingga RM1 juta dan program ‘Be Your Own Boss’ (BYOB) di bawah Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dengan pembiayaan sehingga RM500,000.

“MEDAC juga mengambil ketetapan supaya proses permohonan pembiayaan bagi dana kerajaan di bawah agensi MEDAC tidak akan mengambil kira penilaian CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dalam tempoh pandemik ini terutama bagi usahawan yang gulung tikar,” tambahnya. – MalaysiaGazette