Dr. Abd. Latiff Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang untuk mewujudkan undang-undang khusus bagi memperketat keselamatan siber di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, walaupun negara mempunyai undang-undang berkaitan keselamatan siber seperti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, namun kerajaan berpendapat, perlu ada satu undang-undang khas berhubung perkara itu.

“Perkara ini sedang dibincangkan dan saya akan membentangkan kertas Kabinet mengenainya minggu depan untuk memastikan segala data milik kerajaan dan syarikat swasta akan terus dipelihara.

“Kita harus melihat bagaimana untuk memperkukuh dan memperketat (perlindungan data) dari segi individu, proses dan teknologi,” katanya ketika sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Abdul Latiff berkata, pihaknya sudah mengadakan libat urus dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung perjawatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terutama di daerah kecil.

“Kita berbincang dengan JPA supaya sekurang-kurangnya di setiap daerah kecil umpamanya, minimum kelayakan pegawai yang bertugas adalah memiliki diploma, jadi dia akan mula bertugas dengan Gred 29, berbanding Gred 19 ketika ini.

“Kebanyakan mereka dengan Gred 19 ini mempunyai diploma dan ijazah namun (mendapat gred itu) kerana perjawatan tidak ditambah baik. Beri saya masa untuk berbincang dengan JPA untuk mengisi dan mempertingkat perjawatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette