Prof Dr Sharanjeet Kaur Malkeet Singh. Foto: Facebook Universiti Kebangsaan Malaysia - UKM

KUALA LUMPUR – Dunia kita amat penuh dengan warna.

Kebolehan menikmati warna adalah anugerah terbesar kerana warna dapat menyampaikan maklumat, mempengaruhi emosi dan pemikiran.

Sebanyak 80 peratus daripada kurniaan yang kita nikmati adalah melalui deria penglihatan.

Menurut Pakar Optometri, Prof Dr Sharanjeet Kaur Malkeet Singh seorang daripada 12 lelaki dan seorang  daripada 200 perempuan mengalami masalah rabun warna.

Tambah beliau, sesetengah masalah ini dapat dikesan sejak dari awal lagi.

“Anak-anak yang sering memilih makanan juga menunjukkan petanda awal menghadapi rabun warna, sekiranya ibu bapa dan guru mengesyaki anak atau murid mereka rabun warna, bawalah ke klinik optometri untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada Syarahan Perdana Profesor bertajuk Dunia Rabun Warna di laman Facebook hari ini.

Sharanjeet Kaur merupakan graduan doktor falsafah (PhD) pertama dalam bidang Optometri di Malaysia.

Tambahnya, petanda lain bagi mengesan masalah rabun warna pada peringkat awal adalah seperti mudah hilang fokus, lemah daya ingatan dan mengalami masalah tingkah laku yang kurang memuaskan.

Selain itu, katanya, bagi golongan yang terdedah kepada radiasi, toksik bahan kimia, merokok dan penuaan, mereka juga berisiko mengalami masalah rabun warna. – MalaysiaGazette