Ketua Penerangan Pas Nasruddin Hassan Tantawi

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengesahkan rumah inap atau rumah tamu milik yayasan itu  telah disewa oleh Yang Dipertuanya, Nasruddin Hassan sejak Disember 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, bayaran sewaan bulanan itu telah dibayar sendiri oleh Nasruddin.

Tambah beliau, nilai perabot RM22,000 seperti yang ditimbulkan juga adalah tidak benar kerana perabot yang digunakan di diambil dari perabot-perabot yang tidak digunakan di YADIM dan kelengkapan asas oleh anak syarikat, Lembaran YADIM Sdn. Bhd.

“Perkara-perkara yang disebutkan ini telah mendapat semakan oleh pihak Audit Luar bagi laporan kewangan YADIM tahun 2020 dan mendapati bahawa langkah yang diambil oleh YADIM adalah wajar dan mematuhi tatacara yang sewajarnya.

“Sebagai sebuah Yayasan milik Kerajaan, YADIM mengalu-alukan keprihatinan setiap lapisan masyarakat terhadap perjalanan operasi dan tatakelola Yayasan ini.

Dalam masa yang sama, YADIM percaya bahawa menjadi tanggungjawab semua untuk menyemak kesahihan dan kebenaran sesuatu yang ditimbulkan.

“YADIM sentiasa komited terhadap aspek integriti yang menjadi teras kepada ajaran Islam dan keutamaan kerajaan pada masa ini,” katanya dalam satu kenyatan di Facebook Yadim di sini hari ini.

Beliau menjelaskan isu rumah tamu yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar terhadap YADIM ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada Isnin lalu.

“Syarikat Lembaran YADIM menyewa sebuah rumah dengan memasukkan perabot RM22,000 dengan tujuan sebagai rumah tetamu.

“Tetapi yang saya hairan mengapa rumah itu diduduki oleh Yang Dipertua YADIM sedangkan beliau sudah ada elaun perumahan dan dia telah menerima elaun itu.

“Jadi, mengapa syarikat Lembaran YADIM menyewa sebuah rumah untuk dijadikan tempat tinggal Yang Dipertua YADIM?” dakwa Mahfuz di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette