Syed Ibrahim Syed Ahmad (kiri) bersama Pengarah JAIP, Dr Zulkefli Ali Al Hafiz.

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang bakal memperkenalkan Anugerah Tokoh Frontliner bagi menghargai jasa dan perjuangan petugas barisan hadapan yang memberi khidmat bakti semasa negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, anugerah tersebut akan diperkenalkan  sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Pahang pada tahun ini.

Selain itu, sambutan tahun ini bakal mengetengahkan pelbagai anugerah tokoh iaitu Tokoh Maulidur Rasul, Tokoh Ummah, Tokoh Daie yang bakal berlangsung pada 19 Oktober ini.

“Sambutan akan menampilkan tausiah sebagai teras utama sambutan dan pada masa sama semua hadirin perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan Covid-19

“Sambutan juga akan diserikan dengan persembahan salawat dan qasidah, dan semoga Rasulullah SAW terus bersemadi di jiwa setiap ummah­­,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambahnya, pemenang akan membawa pulang wang tunai dan sijil penghargaan.

Sehubungan itu, pihaknya mengalu-alukan senarai calon daripada jabatan-jabatan negeri bagi mengiktiraf perkhidmatan kakitangan mereka.

“Sebenarnya sangat ramai berkorban jiwa dan masa, kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan memilih seorang pemenang dari RELA, jabatan kesihatan dan jabatan-jabatan yang terlibat sebagai barisan hadapan,” jelas Syed Ibrahim.

Dalam perkembangan lain, pihaknya juga sedang merancang  menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Pahang kali ke-20.

“Majlis akan dilangsungkan di Dewan Yayasan Pahang pada 21 Oktober nanti, akan dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan rosdy Wan Ismail.

“Majlis memberi pengiktirafan kepada para pelajar, guru serta sekolah yang cemerlang serta menyampaikan anugerah Tokoh Guru,” ujarnya. – MalaysiaGazette