Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Reman terhadap pengurus pusat intervensi yang ditahan bagi membantu siasatan kes pukul seorang kanak-kanak autisme diteruskan di bawah Akta Imigresen selama dua minggu sehingga 21 Oktober ini.

Terdahulu, suspek yang merupakan seorang wanita warga Singapura berusia 51 tahun itu telah direman sehingga 5 Oktober sebelum tempoh reman itu disambung selama tiga hari sehingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, hasil semakan serta siasatan mendapati pas lawatan sosial suspek telah tamat tempoh.

“Oleh itu, tahanan reman suspek diteruskan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 bermula hari ini sehingga 21 Oktober,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Mohd Farouk, siasatan terhadap suspek mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 masih diteruskan.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang pengurus pusat intervensi selepas disyaki memukul seorang kanak-kanak autisme dalam satu kejadian di Bandar Baru Ampang, Ampang pada 1 Oktober.

Menurut Mohamad Farouk, berdasarkan laporan yang diterima, seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun yang juga bapa kepada kanak-kanak itu telah menghantar anaknya ke pusat berkenaan sekitar pukul 8.45 pagi.

Kata beliau, bapa kanak-kanak berusia enam tahun sembilan bulan itu kemudian menjemput anaknya pulang sekitar pukul 12.45 tengah hari dan mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian bahu sebelah kiri dan kedua-dua belah mata.

Bapa mangsa yang curiga dengan perkara itu kemudiannya menyemak rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian dan mendapati suspek bertindak kasar dengan mangsa apabila kanak-kanak itu mengelak untuk makan. – MalaysiaGazette