KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menjelaskan tiada sebarang penyaluran peruntukan dilakukan kepada perkhidmatan penstriman televisyen atas talian Nurflix.TV.

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, ketika ini kedua-dua pihak sedang memuktamadkan terma perjanjian sebelum yayasan milik kerajaaan itu melalui proksi anak syarikatnya membeli 10 peratus kepentingan saham dalam syarikat itu.

“Ia akan meletakkan YADIM dalam kedudukan strategik untuk meneroka ruang baru dakwah melalui bidang hiburan dan pendidikan Islamik dalam arus perdana melalui teknologi penstriman yang mempunyai sasaran dakwah yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Yadim di sini hari ini.

Beliau menjelaskan beberapa isu yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar terhadap YADIM ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada Isnin lalu.

Nurflix yang dilancarkan pada 2020, adalah sebuah platform penstriman televisyen yang menyediakan kandungan patuh syariah.

Tuan Kamarul Arief menambah, sebagai sebuah Yayasan milik kerajaan, YADIM mengalu-alukan keprihatinan setiap lapisan masyarakat terhadap perjalanan operasi dan tatakelola yayasan itu

Pada masa sama kata beliua, YADIM percaya bahawa menjadi tanggungjawab semua untuk menyemak kesahihan dan kebenaran sesuatu yang ditimbulkan.
“YADIM sentiasa komited terhadap aspek integriti yang menjadi teras kepada ajaran Islam dan keutamaan Kerajaan pada masa ini,” katanya. – MalaysiaGazette