Penduduk setempat yang hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin di Program Vaksinasi COVID-19 ketika di Pusat Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia, Taman Desawan, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 18 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Setakat jam 11.59 malam tadi, sebanyak 20,927,867 atau 89.4 peratus populasi dewasadi negara ini telah lengkap menerima dos vaksinasi Covid-19.

Ini bermakna tinggal baki 0.6 peratus lagi untuk negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan kerajaan akan mengumumkan kebenaran rentas negeri sebaik sahaja negara mencapai kadar vaksinasi 90 peratus.

Menurut beliau, pengumuman itu akan dibuat dalam beberapa hari sahaja lagi.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi portal COVIDNOW menunjukkan sejumlah 174,820 dos suntikan vaksin diberikan semalam kepada golongan dewasa melibatkan 74,199 orang bagi suntikan dos pertama dan 100,621 orang bagi suntikan lengkap.

Manakala sebanyak 94.7 peratus atau 22,166,911 individu dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 45,379,299.

Seramai 177,029 orang remaja berusia 12 hingga 17 tahun juga telah lengkap suntikan vaksin.

Sebanyak 2,217,920 individu atau 70.4 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. – MalaysiaGazette