Hamdan Wahid

KUALA LUMPUR – Penubuhan jawatankuasa khas siasatan kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim merupakan tanda keprihatian kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, ia merupakan suatu langkah yang sejajar dengan hasrat dan cadangan JBPM agar segala kekusutan dan pertikaian berbangkit dalam kes Allahyarham Adib dapat dirungkai dengan penuh iltizam serta bertanggungjawab.

“JBPM merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kesungguhan dan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung langkah penubuhan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian pegawai bomba, Allahyarham PBK Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Saya mewakili seluruh warga JBPM berdoa agar kes Allahyarham Adib ini mendapat keadilan sewajarnya sekali gus menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat awam bahawa keselamatan nyawa penjawat awam khususnya petugas barisan hadapan senantiasa menjadi keutamaan dan tanggungjawab kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mesyuarat Jemaah Menteri semalam memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian Allahyarham Adib.

Ismail Sabri dalam satu kenyataan berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. – MalaysiaGazette