Nota ugutan yang diterima mangsa dalam kejadian simbah cat di

BATU PAHAT – Kejadian simbah cat di rumah Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia, Chua Jian Boon dapat diselesaikan dengan ketegasan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pihak polis tidak boleh memandang remeh insiden yang berbentuk ancaman itu.

“Saya memohon agar Ketua Polis Johor melihat gejala ini satu perkara serius kerana ini bukan berlaku kepada aktivis politik sebaliknya individu yang ingin perjuangkan mereka yang memerlukan.

“Ah long menyatakan anak-anak mereka meminjam ah long, ramai di Johor yang kena seperti ini tetapi keadaan inilah yang perlu dilihat dengan kita perlu bekerjasama dengan polis untuk membantu membanteras gelaja ini,” katanya.

Presiden MCA itu menyatakan demikian pada majlis penyerahan bakul makanan kepada penghantar makanan, Food Panda kawasan Yong Peng di Dewan Gemilang Yong Peng, di sini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow mengesahkan kejadian yang berlaku di Jalan Sri Putri 1/8, Taman Putri Kulai pada Khamis lalu.

Selain pekarangan rumah, pagar dan dua buah kereta yang diletak depan kediaman berkenaan turut disimbah cat merah dengan sekeping nota ugutan ditinggalkan.

Pada 23 September lalu, Jian Boon memaklumkan beliau menerima ugutan melalui panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali selepas mengadakan sidang media berkaitan seorang wanita yang menjadi mangsa sindiket ah long.

Katanya, ugutan tersebut dibuat menerusi panggilan telefon kepada bapanya yang berusia 58 tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette