Khairy Jamaluddin memberi hadiah kepada seorang kanak-kanak ketika melawat wad kanak-kanak di Pusat Perubatan Mawar di Seremban, hari ini. foto FB KKM

SEREMBAN – Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyediakan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan sedia berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya ia dilaksanakan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata,  bagaimanapun pihaknya masih menunggu keputusan daripada Jemaah Menteri berhubung pelaksanaan PRN itu sebelum SOP berkenaan diperincikan.

“KKM sudah memberi pandangan kepada Jemaah Menteri semalam berkenaan SOP PRN Melaka dan kita serah kepada jemaah menteri untuk buat keputusan terlebih dahulu sama ada PRN diteruskan atau tidak.

“Sekiranya diteruskan maka KKM dah ada pandangan kita berkenaan SOP tertentu yang perlu diambil kira oleh SPR, terlalu awal untuk kita buat pengumuman biar Jemaah Menteri buat keputusan dulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan wad kanak-kanak, mesin pengimbas MRI dan Pensijilan ISO 9001: 2015 Pusat Perubatan Mawar di Seremban, hari ini.

SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14 pada Isnin lepas daripada Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, setelah kerajaan negeri dipimpin UMNO hilang majoriti dalam DUN.

Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu.

Dalam pada itu, Khairy berkata, KKM telah pun memberi ‘lampu hijau’ bagi pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 yang akan dimulakan pada minggu hadapan dengan Sarawak menjadi negeri pertama yang memulakan inisiatif berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu juga telah mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NRPA), Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

“Jadi sekarang kita sudah bersedia bila-bila masa, minggu depan kita dah boleh mula, saya dah bagi lampu hijau, kita akan melihat kepada penghantaran bekalan dan pada bila-bila masa kita boleh berikan kepada mereka yang layak terima,” katanya.

Beliau sebelum ini berkata, kumpulan rentan atau golongan berisiko tinggi yang dikenal pasti KKM akan diberi keutamaan menerima suntikan dos berkenaan termasuk kepada golongan berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas, serta mereka yang mempunyai komorbid serius.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membuat perolehan ubat antiviral Covid-19 daripada beberapa syarikat pengeluar farmaseutikal termasuk dari India namun perlu melihat keselamatan dan keberkesanannya terlebih dahulu.

Sementara itu, Khairy berkata, keputusan membenarkan aktiviti rentas negeri sekiranya jumlah vaksinasi Covid-19 populasi dewasa mencapai sebanyak 90 peratus adalah tepat selain negara juga mencapai liputan vaksinasi yang luas ketika ini.

“Kita perlu percaya kepada rakyat, kalau kita tidak beri mereka merentas negeri, ini akan menyumbangkan kepada masalah seperti tekanan mental dan emosi, ada ramai yang sudah sampai setahun tak jumpa dengan keluarga dan ibu bapa mereka,” katanya.

Jelasnya, jika negara perlu menunggu hingga 70 peratus daripada keseluruhan populasi rakyat divaksinasi, maka orang ramai perlu menunggu lebih lama untuk pembukaan sempadan negeri memandangkan 20 peratus daripada populasi adalah mereka di bawah 12 tahun.

“Tidak ada vaksin untuk kanak-kanak buat masa sekarang, masih lagi belum diluluskan oleh mana-mana regulator termasuklah Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), takkan kita nak tunggu hingga 90 peratus populasi tahun depan,” katanya. – MalaysiaGazette