Aliran lebuh raya dijangka meningkat sebaik sahaja kerajaan umum kebenaran rentas negeri dalam masa terdekat ini.

KUALA LUMPUR – Bagaikan kacang direbus satu, itu perasaan gembira dan kegirangan rakyat Malaysia selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu kebenaran rentas negeri akan diumumkan dalam beberapa hari lagi, secara serentak di seluruh negara.

Rata-rata orang ramai yang ditemui MalaysiaGazette mengakui tidak sabar-sabar menunggu tarikh tersebut kerana kerinduan untuk bertemu ibu bapa dan sanak-saudara di kampung sudah tidak dapat dibendung lagi.

Masakan tidak, setelah hampir dua tahun tidak dapat melalui kehidupan normal, sudah pasti ramai yang teruja dan berdebar menunggu detik tersebut.

Noryuzie Osman, 41, merupakan seorang guru menzahirkan ucapan terima kasih kepada perdana menteri kerana memahami kemahuan rakyat untuk merentas negeri selepas hampir dua tahun menanti.

“Saya sebagai rakyat memang menantikan saat-saat ini, mahu rentas negeri kerana sudah terlalu lama tidak menjenguk kampung.

“Harapan saya dan keluarga, pengumuman tersebut adalah peluang keemasan. Namun saya berharap rakyat dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan masing-masing,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Noryuzie Osman

Sementara itu, Mohd Tahrir Shuhadis, 35, berikrar akan mematuhi SOP ketat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan kerana tidak mahu lagi peluang rentas negeri yang diberikan ditarik semula.

“Kita perlu ingat, kita diberi peluang pulang ke kampung, merentas negeri dengan syarat pematuhan SOP. Jadi kita patuhilah bersama-sama,” katanya.

Mohd Tahrir juga mengakui tidak sabar untuk menzirahi orang tuanya di kampung dan kemudian barulah fikir untuk melancong.

Mohd Tahrir Shuhadis

Mohd Tahrir juga mengingatkan orang ramai supaya melakukan ujian kendiri terlebih dahulu sebelum melakukan rentas negeri memastikan tahap kesihatan diri terjamin dan tidak menjadi punca penyebaran Covid-19.

“Lakukan dulu ujian saringan kendiri sebelum memulakan perjalanan demi menjamin keselamatan orang yang kita akan jumpa.

“Saya selalu mengingatkan diri supaya tidak menjadi punca wabak,” tambah beliau.

Norhafiza Edi

Dalam pada itu, Norhafiza Edi, 26, seorang peniaga di Lembah Klang juga tidak dapat menyembunyikan berasa gembira dengan pengumuman yang dibuat kerajaan semalam.

Berasal dari Negeri Sembilan, Norhafiza berkata, dia sudah lama berkurung dan peluang dapat balik ke kampung memang di tunggu-tunggu.

“Perasaan saya mestilah gembira sebab sudah lama duduk di rumah, jadi bila perdana menteri beritahu akan umum kebenaran rentas negeri, ia memang berita gembira.

”Pertama sekali, saya akan melawat keluarga di Negeri Sembilan dan kedua baru bercuti,” ujarnya dengan ceria.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan kebenaran rentas negeri akan dibuat serentak untuk seluruh negara dan bakal diumum dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kebenaran serentak itu berikutan kebanyakan negeri dijangka mencapai kadar vaksinasi populasi dewasa 80 peratus, apabila purata vaksinasi individu berusia 18 tahun ke atas di seluruh negara mencapai 90 peratus. – MalaysiaGazette