Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee Foto AFFAN FAUZI, 23 MAC 2021

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memperkenalkan mekanisme pembiayaan dan struktur insentif baharu mempercepat pembangunan industri berpotensi tinggi, terutama bagi menerima guna teknologi 4IR.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, dana pertanian pintar yang khusus akan diwujudkan untuk mempercepat penerima gunaan teknologi moden dalam sektor pertanian.

Dana itu katanya, akan menyediakan peluang kepada petani, terutama agropreneur muda untuk memodenkan aktiviti
pertanian di sepanjang rantaian nilai bagi memastikan sekuriti makanan.

“Inisiatif ini turut akan menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menghasilkan lebih banyak produk yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi.

“Ia juga akan menangani isu sekuriti makanan dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing yang berkemahiran rendah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ronald berkata, selain itu, petani, koperasi, persatuan serta industri pertengahan dan hiliran akan turut digalakkan untuk memanfaatkan platform e-dagang bagi meningkatkan pemasaran hasil pertanian.

Jelasnya, ini akan mengurangkan kebergantungan yang berlebihan kepada orang tengah.

“Platform ini juga akan membuka peluang kepada penyumberan luar (outsourcing) perkhidmatan jentera dan peralatan perladangan bagi memanfaatkan sepenuhnya sumber dan mencapai kecekapan kos,” ujarnya.

Tambah beliau, kemahiran tenaga kerja akan dipertingkat melibatkan golongan belia melalui semakan semula kurikulum dan modul latihan untuk mewujudkan tenaga kerja yang kompeten bagi memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan.

Bagi mengiktiraf petani yang terlatih dan berpengalaman, sebuah badan profesional bakal ditubuhkan, katanya.

“Kementerian juga akan terus merancakkan usaha penerimagunaan teknologi moden dan baharu dalam sektor pertanian bagi memangkinkan pertumbuhan sektor ini
sekaligus mempercepat transformasi sektor pertanian kepada sektor yang moden, dinamik dan berdaya saing yang disokong oleh R&D&C&I yang lebih meluas seperti
yang digariskan dalam RMKe-12.

“Di samping itu, strategi dan inisiatif di bawah DAN 2.0 dan DSMN juga akan terus dilaksana bagi mencapai sasaran tahap sekuriti makanan dan mematuhi standard keselamatan makanan antarabangsa.

“MAFI komited untuk melaksanakan semua strategi yang telah digariskan di bawah RMKe-12 bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam mencorak semula masa hadapan negara selaras dengan matlamat kemakmuran, inklusiviti dan kemampanan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama
(WKB) 2030. – MalaysiaGazette