Logo Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar didakwa memberi gambaran yang salah berhubung rumah tamu milik Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, rumah inap atau rumah tamu milik yayasan itu telah disewa sejak Disember lalu dan dibayar menggunakan duit poket Yang Dipertua YADIM, Nasruddin Hassan.

Malah, dakwaan Mahfuz mengenai perabot berjumlah RM22,000 di rumah tamu tersebut juga adalah tidak benar, kerana perabot yang digunakan di rumah tamu ini adalah perabot diambil dari YADIM dan Lembaran YADIM Sdn. Bhd yang sudah tidak digunakan lagi.

“Perkara-perkara yang disebutkan ini telah mendapat semakan oleh pihak Audit Luar bagi laporan kewangan YADIM tahun 2020 dan mendapati bahawa langkah yang diambil oleh YADIM adalah wajar dan mematuhi tatacara yang sewajarnya.

“Sebagai sebuah yayasan milik kerajaan, YADIM mengalu-alukan keprihatinan setiap lapisan masyarakat terhadap perjalanan operasi dan tatakelola yayasan ini,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Mahfuz ketika mambahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada Isnin lepas telah membangkitkan beberapa isu berkaitan YADIM.

Antara yang dibangkitkan adalah mengenai rumah tamu dan dikaitkan dengan Nasruddin.

Bagaimanapun, apa yang diperkatakan oleh Mahfuz didakwa sebagai fitnah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast