Pos Malaysia

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia akan mengeluarkan koleksi setem edisi khas sempena Hari Pos Sedunia (WPD) bermula Isnin ini di pejabat pos terpilih di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, koleksi setem itu juga boleh didapati di laman web Pos Malaysia di www.pos.com.my.

Katanya, bertemakan ‘Meraikan Legasi, Menghubungkan Masa Hadapan’ Kesatuan Pos Sedunia (UPU) dan melalui WPD menghayati kepentingan dan sumbangan perkhidmatan pos kepada masyarakat global serta menghormati sumbangan luar biasa kakitangan pos yang menghantar mel dan bungkusan di seluruh dunia.

“Pos Malaysia berbangga kerana telah menghubungkan rakyat Malaysia selama lebih dari 200 tahun. Dalam usaha mencapai kemajuan, pada masa yang sama kami juga tidak lupa meraikan sejarah gemilang sebagai organisasi tertua di negara ini dan memperingati peranan kami kepada masyarakat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Brewer lagi, koleksi itu menawarkan setem ciri berbeza (setenant) dengan ilustrasi masa lalu dan masa kini Pos Malaysia.

Katanya, sebanyak 400,000 keping akan dikeluarkan untuk setiap rekaan, dengan nilai RM1.30 setiap satu selain produk filateli seperti sampul surat hari pertama dan folder berharga 50 sen dan RM6 setiap satu.

Tambahnya, peminat setem boleh membeli keseluruhan set dengan harga berpatutan iaitu RM36.10 dan keluaran itu termasuk poskad yang memaparkan imej posmen dari era berbeza bernilai RM1 sekeping.

Katanya lagi, peminat setem dan orang ramai boleh mendaftar untuk akaun deposit pesanan (SODA) tetap bagi memudahkan pembelian setem terbitan terbaharu serta menikmati faedah eksklusif yang ditawarkan.

Justeru katanya, mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti SODA boleh mendaftar di mana-mana pejabat pos di seluruh negara atau dalam talian di www.posonline.com.my. – MalaysiaGazette