Oh Tong Keong

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan mengecam Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang didakwa tidak prihatin dengan keluhan dan bantahan majoriti rakyat Pulau Pinang terhadap Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

Pengerusi Gerakan Negeri Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, rakyat Pulau Pinang mahu projek PSR dibatalkan dengan serta-merta, tidak ingin melihat kebolehlaksanaan projek itu dinilai semula dengan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) baharu.

Rakyat tahu bahawa projek itu tidak memanfaatkan rakyat Pulau Pinang, jelasnya.

Tong Keong tidak memahami kenyataan yang dinyatakan Chow bahawa kerajaan negeri akan membincang dan menghantar laporan EIA yang baharu untuk dinilai dan dipertimbangkan oleh pihak berkuasa tertentu.

Tambahan lagi, Chow juga mengatakan projek PSR dapat mewujudkan tanah baharu untuk pembangunan, ia merupakan rancangan jangka panjang.

“Mengapa Chow dan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang yang diketuai DAP masih berkeras kepala untuk melaksanakan projek PSR apabila rakyat Pulau Pinang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan projek itu dan kerajaan pusat juga tidak bersetuju dan membenarkan projek itu dilaksanakan?

”Adakah udang di sebalik batu?,” soal Tong Keong.

Beliau percaya rakyat Pulau Pinang jelas mengetahui bahawa projek itu hanya memanfaatkan konsortium, bukan rakyat jelata Pulau Pinang.

“Tambahan lagi, Chow juga mengakui masih terdapat banyak tanah di Seberang Perai, khususnya bahagian timur dan selatan seberang perai.

”Beliau juga mengalukan-alukan pelabur asing datang melabur di negeri Pulau Pinang kerana di sini masih terdapat banyak tanah kegunaan perindustrian untuk pelabur asing menubuhkan kilang.

”Dengan itu, bukankah kedua-dua kenyataan yang dinyatakan Chow itu saling bertentangan?”, ujar Tong Keong.

Beliau berpendapat kenyataan yang saling bertentangan yang dikeluarkan ketua menteri itu telah mengelirukan rakyat. – MalaysiaGazette