Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot tunda dan tongkang yang disyaki bersauh tanpa kebenaran di 0.5 batu nautika timur Pulau Kendi di sini semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot tunda dan tongkang yang disyaki bersauh tanpa kebenaran di 0.5 batu nautika timur Pulau Kendi di sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot itu ditahan kapal Maritim (KM) Sikuati ketika melakukan Ops Pertiwi pada pukul 9 pagi.

Kata beliau, pemeriksaan mendapati bot itu juga didapati menggaji kru asing tanpa permit yang sah.

“Bot tunda yang dikendalikan lima kru termasuk nakhoda itu terdiri daripada empat warga tempatan dan satu warga Indonesia memiliki dokumen pengenalan diri serta permit kerja.

“Mereka berusia berusia lingkungan 22 hingga 34 tahun dan didapati gagal mengemukakan dokumen kebenaran berlabuh dari Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Abd Razak berkata, pemeriksaan pada tongkang bermuatan jentera dan bahan binaan pula mendapati ia dikendalikan tiga warga Myanmar berusia antara 29 hinggga 50 tahun.

“Mereka ditahan kerana disyaki tinggal dalam negara melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Nakhoda bersama dua kru bot tunda serta tiga kru barge sudah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Pulau Pinang bagi siasatan lanjut.

“Maritim Malaysia ingin menegaskan kepada semua pemilik kapal supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi mengikut undang-undang di laut yang sedia ada,” katanya.

Kes disiasat mengikut kesalahan Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai aduan atau kecemasan boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04 262 6146 atau talian kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazette