Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad (kanan) bersama Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali (tengah) menandatangani plak perasmian pada Majlis Pembukaan Pasar Raya Ummah di Pulau Meranti, Cyberjaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 OKTOBER 2021.

PUCHONG – Penularan klip audio dipercayai milik salah seorang pemimpin Pas yang menyuarakan kebimbangan terhadap kepimpinan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disifatkan satu lagi serangan politik.

Naib Presidennya, Senator Idris Ahmad berkata, walaupun beliau akui wujud gerakan untuk memecahbelahkan Pas namun dakwaan yang mempersoalkan kepimpinan Abdul Hadi sebenarnya tidak wujud.

“Kalau nak video audio kita di YouTube jadi tinggi dan sebagainya, kena cari (isu) untuk serang Pas. Orang memang nak cari (isu) sangat berkenaan dengan Pas, lepas itu orang nak berniaga dan sebagainya, itu lumrah biasa kepada kami.

“Dalam konteks setakat hari ini, orang buat gerakan untuk memecahbelahkan kami ini, masih lagi kami macam biasa.

“Alhamdulillah, kami mesyuarat macam biasa, seminggu dua kali dalam keadaan macam biasa, tiada unsur-unsur seperti itu (persoal Abdul Hadi),” katanya kepada MalaysiaGazette di Pulau Meranti hari ini.

Terdahulu Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merasmikan Pasaraya Ummah yang pertama seumpamanya diilhamkan Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan Pas Pusat.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.

Semalam, portal Malaysiakini melaporkan audio yang tular di media sosial Jumaat lalu yang berdurasi satu minit 52 saat didedahkan seorang pemilik akaun Facebook.

Akaun media sosial itu mendakwa pemimpin Pas berkenaan sebagai “Dr T” yang dikaitkan dengan seorang ahli jawatankuasa pusat parti itu.

Menurut rakaman audio berkenaan, Dr T berkata, Abdul Hadi percaya Perikatan Nasional (PN) lebih berpengaruh berbanding Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette