Sebahagian penduduk membuat bantahan ke atas cadangan pembinaan bangunan tinggi di cerun bukit di Jalan Seri Segambut, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Lebih 120 penduduk Taman Bayu Sri Bintang serta kira-kira 4,000 pendaki membantah cadangan pembinaan pangsapuri bersebelahan Bukit Sri Bintang dekat Segambut hari ini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bayu Sri Bintang, Wong Siew Hui mendakwa pembangunan satu blok pangsapuri kos sederhana di atas dua ekar tanah milik persendirian dikhuatiri mengundang kesesakan jalan raya  selain mendatangkan risiko tanah runtuh.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bayu Sri Bintang, Wong Siew Hui.  Foto SYAFIQ AMBAK, 10 OKTOBER 2021.

Malah menurutnya bantahan juga diterima daripada orang ramai yang menjadikan kawasan itu sebagai lokasi pendakian dan beriadah.

Antara lokasi cadangan pembinaan bangunan tinggi di cerun bukit di Jalan Seri Segambut, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 OKTOBER 2021.

“Dua minggu lalu kami baru dimaklumkan akan ada projek pembangunan pangsapuri 37 tingkat di sini dengan 431 unit rumah.

“Mengikut Pelan Bandaraya Kuala Lumpur (PBKL) 2020, kepadatan hanya terhad kepada 48 orang seekar. Bagaimanapun cadangan projek ini akan menaikkan kepadatan kepada 800 orang seekar.

“Ini berlaku kenaikan 17 kali ganda daripada pelan asal sekaligus menyebabkan kesesakan di taman ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pengerusi Zon Parlimen Segambut, Datuk Daniel Ling Sia Chin (dua kiri) bersama Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bayu Sri Bintang, Wong Siew Hui (tengah) dan penduduk membuat bantahan ke atas cadangan pembinaan bangunan tinggi di cerun bukit di Jalan Seri Segambut, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 OKTOBER 2021.

Siew Hui mendakwa, infrastruktur sedia ada taman itu tidak mampu untuk menampung struktur bangunan tinggi apatah lagi tanah itu merupakan kawasan cerun yang dipenuhi dengan batuan granit.

“Jika projek ini diteruskan, ia bukan sahaja menimbulkan kesesakan lalu lintas bahkan menjejaskan infrastruktur sedia ada termasuk sistem perparitan.

“Di sini kawasan bukit, kalau dibina bangunan tinggi, boleh menyebabkan risiko tanah runtuh. Sudah pasti kita tak mahu kejadian seperti Highlands Tower berulang di sini,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji semula projek pembangunan dan kembali kepada perancangan asal dengan kadar kepadatan penduduk rendah.

“Sebab itu kami bantah hari ini kerana esok merupakan hari terakhir bantahan sebelum dihantar kepada pihak DBKL,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Zon Parlimen Segambut, Datuk Daniel Ling Sia Chin pula berkata, pihaknya tidak membantah pembangunan namun pihak berkuasa perlu menyediakan infrastruktur bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk banjir kilat.

Pengerusi Zon Parlimen Segambut, Datuk Daniel Ling Sia Chin. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 OKTOBER 2021.

“Kalau pembinaan ini dibuat, kesesakan jalan raya akan berlaku dan kalai banjir, mesti ada perparitan atau longkang yang sesuai untuk air bukit mengalir keluar,” katanya. – MalaysiaGazette