Presiden Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman Yaakob bercakap kepada media pada pelancaran Parti Kuasa Rakyat di The Diplomat, Kuala Lumpur. Foto FARHAN MAHAMAD, 10 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Penglibatan syarikat petroleum negara, PETRONAS dalam Formula Satu (F1) yang melibatkan tajaan RM1 bilion di Malaysia perlu ditamatkan.

Presiden Penaja Parti Kuasa Rakyat (Kuasa Rakyat), Kamarazaman Yaakob berkata, ini kerana seramai 100,000 pelajar dapat diberikan biasiswa sekiranya seorang pelajar mendapat biasiswa RM10,000.

Pada masa sama, kata beliau, parti itu akan turut mengajak kepimpinan kerajaan supaya dapat mengawal sumber negara secara lebih ketat dan lebih teratur .

“Segala bentuk kebocoran atau ketirisan perlulah diatasi dengan sempurna. Begitu juga bentuk perbelanjaan yang boleh dianggap tidak produktif.

“Agensi-agensi yang boleh menyumbangkan hasilan negara perlu disemak kembali cara pelaksanaan mereka,” katanya pada majlis pelancaran Kuasa Rakyat di sini hari ini.

Kamarazaman turut mendakwa sebuah agengsi yang mendatangkan hasil kepada negara boleh bocor sehingga lebih dari RM10 bilion setahun.

Jelas beliau sekiranya diberikan kepada pihak swasta menguruskannya bersama agensi tersebut, kerajaan bukan sahaja dapat mengawal kebocoran tersebut .

“Malah kerajaan akan mendapat hasil sebanyak RM16.5 bilion setahun,” katanya.

Ditanya ke mana sokongan Kuasa Rakyat ketika ini, Kamarazaman berkata, parti itu adalah mesra kerajaan namun merancang untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Kami perlu melihat dahulu sokongan dan dokongan rakyat sama ada kami telah diterima,” katanya.- MalaysiaGazette