Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed

KOTA BHARU – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melantik Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu sebagai Pusat Satelit MyFutureJobs institut pengajian tinggi (IPT) pertama di negara ini.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohamed berkata penubuhan Pusat Satelit MyFutureJobs merupakan projek kolabori perintis kepada lebih banyak penubuhan pusat sama terutama di IPT, bukan sahaja di Kelantan malah di negeri lain.

“Pusat Satelit MyFutureJobs adalah satu inisiatif Perkeso sebagai penyedia perkhidmatan pekerjaan awam untuk meningkatkan akses dan kebolehcapaian masyarakat kepada peluang pekerjaan yang terdapat di seluruh negara.

“MyFutureJobs adalah tetingkap tunggal bagi Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara yang dibangunkan termasuk kepada penuntut dan graduan untuk lebih bersedia memasuki pasaran pekerjaan, pencari kerja dalam kalangan masyarakat setempat sebagai calon yang dicari majikan untuk mengisi jawatan kosong,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan secara maya pada majlis pelancaran Pusat Satelit MyFutureJobs bersempena Electronic KPTM’S Excellence And Sports Week 2021 (e-KESWA) di KPTM Kota Bharu di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob dan Pengarah KPTM Kota Bharu Raja Izuddin Raja Ahmad.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata MyFutureJobs dipacu oleh kecerdasan buatan mampu membuat padanan pekerjaan yang lebih tepat berdasarkan kelayakan akademik, pengalaman, kemahiran dan kompetensi pencari kerja dengan keperluan majikan.

“Portal MyFutureJobs juga adalah tonggak kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan oleh Perkeso dalam pakej-pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi seperti Program PenjanaKerjaya.

“Pada 2020, MyFutureJobs merekodkan 47,901 majikan yang menawarkan 745,304 jawatan kosong kepada lebih 500,000 pencari kerja berdaftar di portal tersebut dan berjaya melaksanakan penempatan pekerjaan untuk 160,554 pencari kerja menerusi portal MyFutureJobs,” katanya.

Menurutnya hingga 4 Okt lepas, sebanyak 275,565 peluang pekerjaan masih aktif ditawarkan kepada lebih 686,000 pencari kerja berdaftar di MyFutureJobs.

Sementara itu, Raja Izuddin berkata Pusat Satelit MyFutureJobs di KPTM Kota Bharu berfungsi sebagai pusat sehentian bukan sahaja kepada para pelajar institusi itu bahkan kepada komuniti setempat.

“Kerjasama ini diharap mewujudkan satu ekosistem pasaran buruh yang lebih efisien dan bermanfaat,” katanya.- BERNAMA