Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Bank Negara (BNM) sedia bekerjasama dengan agensi penguat kuasa undang-undang untuk memantau dan menyiasat dokumen terkandung di dalam Pandora Papers yang membabitkan beberapa individu termasuk pemimpin di negara ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebagai pihak berkuasa berwibawa, BNM sentiasa bersedia bekerjasama dan memanjangkan sokongan kepada agensi terbabit seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pemantauan berterusan, kalau ada mencurigakan, sentiasa dibuat agensi penguat kuasa undang-undang dan agensi pengawal selia Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Maka kalau ada sebarang isu yang timbul, inilah agensi yang bertanggungjawab. Kalau ada perkara yang perlu disiasat, BNM sentiasa sedia bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan yang dibangkitkan beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membahaskan RUU berkenaan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson (PH) sebelum ini mengemukakan usul mendesak Dewan Rakyat membahaskan pendedahan dibuat Pandora Papers yang didakwa menyentuh individu berpengaruh di negara ini termasuk ahli politik.

Mengulas lanjut, Zafrul berkata, sebarang maklumat kewangan boleh diketahui melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selain mekanisme pertukaran maklumat membabitkan percukaian termasuk menerusi perjanjian mengelakkan percukaian dua kali dengan 74 negara.

“Institusi pelapor adalah disenaraikan dalam jadual pertama AMLA, ini termasuk institusi pelapor dikawal selia BNM, Labuan FSA dan Suruhanjaya Sekuriti.

“Mereka perlu mematuhi obligasi pelaporan termasuk menjalankan proses ketekunan wajar pelanggan dan memfailkan laporan transaksi mencurigakan atau laporan pemindahan wang apabila terdapat tanda mencurigakan dalam transaksi kewangan ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette