Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Majlis Pelancaran Transformasi Pendidikan Pahang (TPP) di Auditorium, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Kira-kira tiga peratus lagi guru di Pahang yang enggan dan belum mengambil suntikan vaksin diminta berbuat demikian pada kadar segera.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain membendung penularan Covid-19, pengambilan vaksin juga memberi mereka banyak kelonggaran seperti yang diumumkan kerajaan.

“Pesan kepada mereka (guru) yang masih belum mengambil vaksin lagi supaya beri kerjasama, tampil ke hadapan kerana ini untuk kemudahan mereka juga,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Transformasi Pendidikan Pahang (TPP) di Auditorium, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang petang tadi.

Jelas Wan Rosdy, golongan guru harus  memahami kemudahan yang diberikan oleh kerajaan kepada penerima lengkap dua dos vaksin seperti kebenaran merentas negeri, memasuki premis serta makan di restoran.

“Sekarang ini kalau nak makan di restoran kena dapat dua dos vaksin, begitu juga kalau nak rentas negeri atau nak pergi pusat beli-belah.

“Jadi jangan menyusahkan diri sendiri dan kita tak mahu mereka yang tak dapat suntikan ini jadi pembawa kepada orang lain,” katanya.

Sementara itu, katanya, jumlah guru di negeri itu yang menerima vaksin sudah mencecah 97 peratus daripada jumlah keseluruhan 25,476 guru di Pahang sudah menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Jumlah itu telah memenuhi sasaran bagi imuniti kelompok bagi warga pendidik di negeri itu.

Terdahulu Wan Rosdy turut menyampaikan peruntukan sejumlah RM338,105 di Majlis Pelancaran Transformasi Pendidikan Pahang (TPP) yang dirangka tempoh 10 tahun dalam menaik taraf sistem pendidikan negeri dengan menekankan 10 inisiatif. – MalaysiaGazette