Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Penubuhan parti-parti baharu dibimbangi hanya akan menjadi proksi kepada sesetengah pihak yang boleh dianggap mencemarkan sistem demokrasi seterusnya menghina rakyat.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, pihaknya mengalu-alukan penubuhan parti-parti politik baharu di negara ini demi menyuburkan proses demokrasi agar rakyat diberikan lebih banyak pilihan untuk menyuarakan keluh kesah mereka dan denyut nadi anak muda.

Katanya, beliau tertarik dengan penubuhan Parti Kuasa Rakyat, yang mana ia mengambil ideologi nasionalisma dan mahu memperjuangkan golongan B40 dan M40.

“Semangat yang ditunjukkan ini bersesuaian dengan nilai-nilai negara kita. Namun begitu, sejauh manakah golongan B40 dan M40 diwakili di dalam Jawatankuasa Penaja parti tersebut. Ratanya-ratanya seperti golongan T20 yang menjadi pemimpin Parti Kuasa Rakyat.

“Dewan Pemuda Ikatan Malaysia berharap semua parti politik tanpa mengira kecenderungan kepada kerajaan atau di pihak pembangkang, perlu mendahulukan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, semua pihak perlu mengamalkan politik matang dan menghindari diri daripada menghamburkan kata-kata yang menyakitkan hati parti lain.

Ujarnya, mencemuh dan menunding jari kepada parti lain menunjukkan ketidakmatangan politik, walaupun sebilangan besar mereka adalah pemimpin berpengalaman warga emas.

“Rakyat terutama pengundi baharu bakal menghukum pemimpin sebegini. DPIM menyeru agar semua pemimpin kerajaan dan pembangkang untuk kekal fokus dalam membendung wabak Covid-19 yang masih belum reda.

“Kita masih berada dalam lingkungan 8,000 hingga 9,000 kes harian. Fikirlah keadaan rakyat yang kini tersepit dan terhimpit,” ujarnya. – MalaysiaGazette