Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Penubuhan pasukan petugas khas kes Pulau Batu Puteh oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob penting untuk mengetahui sebab sebenar mengapa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik semakan ke atas penghakiman keputusan Makhamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rakyat Malaysia wajar tahu adakah tindakan tersebut cuai dan membelakangkan kepentingan nasional.

Seterusnya siapa yang harus dipertanggungjawabkan dalam kegagalan meneruskan semakan keputusan tersebut, tegas beliau.

Menurut beliau, bangsa lain bermatian-matian untuk mempertahankan walau seinci tanahair mereka tetapi Kerajaan Pakatan Harapan pula melepaskan segala usaha mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Puteh tanpa sebarang pemeriksaan dan pertanggungjawaban.

”Saya ucapkan tahniah dan amat gembira dengan keputusan kerajaan pimpinan YAB Dato Seri Ismail Sabri Yaakub menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji opsyen yang sesuai berhubung kes Pulau Batu Putih,” katanya dalam kenyataan.

Selepas ICJ membuat keputusan, Peguam Negara telah mengemukakan permohonan untuk semakan penghakiman tersebut dengan alasan penemuan bukti baharu pada Februari 2017.

Tarikh pendengaran untuk semakan ditetapkan pada 11 Jun 2018.

Setelah Tun Mahathir Mohammad diangkat menjadi Perdana Menteri ke-7, Kerajaan PH telah memutus untuk tidak meneruskan semakan keputusan tersebut. sekali gus menyebabkan Malaysia kehilangan milikan Pulau Batu Puteh untuk selama-lamanya.

Mohamed Khaled menyifatkan tindakan PH itu sebagai ‘the neglect of duty of the highest order’.

Lantaran itu, PH harus dipertanggubgjawabkan jika mereka, cuai, culas dan membelakangkan kepentingan nasional, ujar beliau. – MalaysiaGazette