Seorang warganegara Pakistan, Hashmat Khan dibawa ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan membunuh seorang wanita pada 25 September lalu di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 11 OKTOBER 2021.

BANGI – Seorang warga Pakistan dituduh di Mahkamah Majstret, di sini, membunuh seorang wanita warga Indonesia di Semenyih, Selangor pada 25 September lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Hashmat Khan, 23, dan tertuduh hanya mengangguk kepala tanda faham terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Majistret Effandi Nazila Abdullah menetapkan 22 November ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan berkaitan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga pemotong rumput didakwa dengan sengaja telah membunuh wanita bernama Juli di sebuah premis Jalan 1/1A, Bandar Baru Rinching, Semenyih.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Pada 28 September lalu, polis menemukan seorang wanita warga Indonesia dalam keadaan tidak berpakaian dan diselimuti dengan kain disyaki dibunuh di sebuah kedai makan di Bandar Rinching, Semenyih.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam melalui MERS 999 yang mendakwa terdapat bau busuk dari dalam kedai berkenaan pada jam 7.33 pagi. – MalaysiaGazette