Nurrul Azrina Arza (kiri) dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali (kanan) memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan seorang jurujual daripada pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, empat tahun lalu.
JOHOR BAHRU – Jabatan Pendakwaan Negeri Johor dan Jabatan Peguam Negara hari ini memfailkan notis rayuan ke atas pembebasan seorang jurujual daripada pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, empat tahun lalu.
Rayuan difailkan oleh Penolong Pegawai Undang-undang Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Nurul Azrina Arza dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali.
Notis rayuan dilakukan kira-kira jam 9.15 pagi di kaunter Mahkamah Majistret/Sesyen,  Kompleks Mahkamah Johor Bahru, pagi tadi.
Muhammad Syafiq memberitahu  rayuan berkenaan difailkan hari ini susulan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semalam.
“Selepas ini, proses penyemakan rekod rayuan dan keterangan tertuduh pada peringkat pembelaan akan dibuat, sebelum kita memfailkan petisyen rayuan.
”Mahkamah Tinggi kemudian akan menetapkan tarikh perbicaraan rayuan yang dibuat,” katanya ketika ditemui selepas memfailkan notis rayuan berkenaan, di sini hari ini.
Turut hadir memfailkan notis rayuan berkenaan,Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan dan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Superintendan Mohd Yusof Mohd Ali.
Semalam media melaporkan, AGC akan memfailkan rayuan berhubung kes berkenaan.
Peguam Negara berkata, AGC akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Johor Bahru kepada Mahkamah Tinggi sama ada Isnin atau Selasa.
Dua hari lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru telah membebas dan melepaskan Sam Ke Ting, 26, daripada pertuduhan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam pada 3.20 pagi, 18 Februari 2017.
Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap Ke Ting, sekali gus memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu dengan lesen memandunya yang digantung, diperintahkan dipulangkan serta-merta.
Mahkamah berpendapat keterangan tertuduh  tidak mengetahui terdapat aktiviti basikal lajak di kawasan itu adalah munasabah.
Siti Hajar berkata, keterangan Ke Ting bahawa dia berada di lorong paling kiri lokasi kejadian di Jalan Lingkaran Dalam juga bertepatan dengan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), yang mendapati kenderaan tertuduh sama ada dipandu pada kelajuan 44.5 kilometer atau 75.8 kilometer sejam.
Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan tertuduh membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya serta mengetepikan perintah Mahkamah Majistret pada 28 Oktober 2019, yang membebas dan melepaskannya daripada pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.
Ke Ting yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa memandu kereta secara melulu atau berbahaya di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.
Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14, Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14,Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16,Fauzan Halmijan, 13, Mohamad Azhar Amir, 16, Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14, Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, selain lesen memandu digantung, sekiranya disabit kesalahan.- MalaysiaGazette