Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengambil langkah proaktif memantau aktiviti penggambaran filem bagi memastikan setiap syarikat produksi mematuhi tatacara operasi standard (SOP) penggambaran yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam kenyataannya, FINAS berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung isu dan perkara yang telah menjadi tular di dalam portal dan platform media sosial berhubung kes jangkitan Covid-19 yang melibatkan syarikat produksi di sebuah lokasi penggambaran.

Katanya, Finas telah mengambil inisiatif dengan menyalurkan maklumat dan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tindakan selanjutnya.

“Selain itu, Unit Penguatkuasa Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Finas telah membuka kertas siasatan berhubung perkara ini dan siasatan penuh akan dijalankan sebelum tindakan seterusnya diambil selaras dengan sistem perundangan negara.

“Finas mahu mengingatkan kepada semua Penyelia Protokol Penggambaran (PPP) yang telah dilantik oleh syarikat produksi masing-masing untuk memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab dengan sentiasa memastikan artis dan krew mematuhi semua garis panduan yang telah ditetapkan dan merekodkan di dalam buku log yang telah disediakan oleh Finas,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, Finas sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa yang terlibat sama dalam menangani dan menyelesaikan isu berbangkit ini demi memastikan nama baik industri kreatif terpelihara.

Tegasnya, Finas menyatakan komitmen untuk bertindak lebih agresif dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan SOP serta mengalu-alukan sebarang aduan daripada masyarakat awam untuk melaporkan kepada Finas sekiranya mendapati berlaku perlanggaran SOP yang melibatkan aktiviti penggambaran.

“Sebarang aduan dan pertanyaan lanjut boleh berhubung terus di talian 03-41041300 (Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan) dan emel di [email protected],” tambahnya. – MalaysiaGazette