Orang ramai meluangkan masa melakukan aktiviti riadah selepas kerajaan membenarkan aktiviti tersebut dalam tempoh Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pantai Klebang, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 06 OKTOBER 2021.

PETALING JAYA – Industri perhotelan Malaysia dijangka bergantung kepada pengunjung domestik untuk tempoh setahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia, Yap Lip Seng berkata, walaupun pelancong antarabangsa mungkin boleh masuk Malaysia pada 2022, tetapi industri perhotelan masih memerlukan setahun hingga dua tahun untuk pulih.

Beliau turut menjangkakan bahawa kadar penginapan pada dua hingga tiga bulan akan datang  akan melonjak disebabkan ramai orang sudah lama menyimpan hasrat mahu bersiar-siar.

Katanya kepada Sinchew Daily, penggantungan kepada pelancong domestik semata-mata bagaimanapun bermaksud industri perhotelan tidak dapat mengalami pemulihan yang menyeluruh.

Sementara itu, Timbalan Presiden Malaysian Inbound Tourism Association, Mint Leong berkata,  walaupun rentas negeri dibenarkan dan merupakan khabar baik, tetapi agensi pelancongan masih tidak menikmati hasilnya kerana ramai orang belum bersedia melancong mengikut rombongan.

Katanya, kebenaran rentas negeri akan merancakkan aktiviti balik kampung dan diikuti pelancongan rentas negeri, tetapi kebanyakan orang dipercayai akan melancong secara bersendirian daripada mengikut rombongan.

“Kebenaran rentas negeri memang satu khabar baik untuk pengusaha hotel, inap desa dan restoran, tetapi pengusaha bas persiaran dan pemandu pelancong masih perlu menunggu untuk melihat hasilnya,” katanya.

Menurutnya, pemain industri pelancongan masih memantau perkembangan semasa kerana COVID-19 mungkin akan mengubah gaya dan tabiat melancong orang ramai. – MalaysiaGazette