KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) bulan Ogos lalu merosot marginal 0.7 peratus pada bulan Ogos 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya disebabkan oleh penyusutan dalam indeks perlombongan (-4.2%) dan indeks elektrik (-4.8%).

Sementara itu, indeks pembuatan merekodkan peningkatan 0.6 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP meningkat 3.2 peratus didorong oleh sektor pembuatan dan elektrik yang turut dipengaruhi oleh pembukaan sektor ekonomi yang lebih luas seiring dengan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 0.6 peratus pada bulan Ogos 2021 selepas mencatatkan kejatuhan 6.5 peratus pada bulan Julai 2021.

Subsektor yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada Ogos 2021 adalah produk petroleum, kimia, getah & plastik (15.2%) dan produk peralatan elektrik & elektronik (8.6%).

Industri berorientasikan eksport tumbuh 7.6 peratus manakala industri berorientasikan domestik menyusut sebanyak 13.8 peratus.

Peningkatan bagi industri berorientasikan eksport disumbangkan terutamanya oleh pembuatan koko & produk petroleum bertapis dan pembuatan komputer, produk elektronik & optikal.

Prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan.

Sementara itu, kemerosotan industri berasaskan domestik dipengaruhi oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler & semi-treler dan pembuatan produk galian bukan logam lain.

Sektor pembuatan bagi perbandingan bulan ke bulan turut meningkat 5.3 peratus berbanding Julai 2021, yang mana kenaikan ini turut digambarkan oleh kapasiti penggunaan kilang yang lebih tinggi berbanding bulan lalu terutamanya dalam subsektor produk peralatan elektrik & elektronik, makanan, mMinuman & tembakau dan produk petroleum, kimia, getah & plastik.

Output sektor perlombongan menguncup 4.2 peratus pada bulan Ogos 2021 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Penyusutan tersebut disebabkan oleh kejatuhan 11.0 peratus dalam indeks minyak mentah & kondensat.

Sementara itu, indeks gas asli tumbuh 1.6 peratus.

Pada masa yang sama, indeks perlombongan turut merosot 4.5 peratus berbanding bulan sebelumnya manakala output sektor elektrik merosot 4.8 peratus pada bulan Ogos 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun lalu.

Sebaliknya, dari segi perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik berkembang 2.8 peratus.

IPP bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021 merekodkan pengembangan 8.2 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya. Peningkatan tersebut dipacu oleh kenaikan dalam kesemua komponen; indeks pembuatan (10.4%), indeks perlombongan (3.0%) dan indeks elektrik (1.7%). – MalaysiaGazette