KUALA LUMPUR – Perdagangan borong dan runcit Malaysia terus terkesan oleh Perintah Kawalan Pergerakan, jatuh 10.2 peratus tahun ke tahun kepada RM100 bilion pada Ogos 2021.

Ia merupakan pertumbuhan negatif dua digit ketiga berturut-turut selepas penurunan 14.7 peratus pada bulan Julai dan -10.3 peratus pada bulan Jun.

Walau bagaimanapun, nilai jualan sektor ini tumbuh 7.9 peratus bulan ke bulan.

Laporan ini juga memaparkan statistik nilai jualan dan indeks volum bagi perdagangan borong & runcit mengikut subsektor.

Ketua Perangkawan Malaysia berkata, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, subsektor kenderaan bermotor merosot 57.6 peratus atau RM7.9 bilion untuk mencatatkan RM5.8 bilion pada Ogos 2021.

Perdagangan Runcit juga turun 7.5 peratus atau RM3.4 bilion kepada RM42.3 bilion diikuti oleh perdagangan borong yang turun 0.1 peratus untuk mencapai RM51.9 bilion.

Namun, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan meningkat 7.9 peratus, didorong oleh kebenaran beroperasi semula 11 sektor ekonomi dan pengedaran di negeri-negeri Fasa Satu dan Fasa Dua di bawah Pelan Pemulihan Nasional.

Pertumbuhan susut 57.6 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada bulan Ogos 2021 adalah disebabkan oleh Jualan Kenderaan Bermotor
yang merosot 60.9 peratus atau RM4.8 bilion kepada RM3.1 bilion diikuti dengan jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor dengan kejatuhan 47.2 peratus untuk mencatatkan RM1.7 bilion.

Penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor juga menurun 48.6 peratus kepada RM0.9 bilion diikuti oleh jualan, penyelenggaraan & pembaikan motosikal dengan pertumbuhan menyusut 79.0 peratus untuk mencapai RM0.8 bilion.

Sebaliknya, bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini meningkat 188.1 peratus, dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang mencatatkan 135.5 peratus setelah bilik pameran dan pusat jualan kereta dibenarkan beroperasi di negeri-negeri utama.

Mengulas lebih lanjut mengenai subsektor perdagangan runcit, penguncupan 7.5 peratus disebabkan oleh jualan runcit di kedai pengkhususan yang merosot 14.8 peratus atau RM1.4 bilion kepada RM8.1 bilion.

Jualan runcit di kedai bukan pengkhususan juga merosot 8.1 peratus kepada RM15.4 bilion, diikuti oleh jualan runcit barangan isi rumah menyusut 7.5 peratus, jualan runcit bahan api kenderaan jatuh 6.2 peratus, menyusut jualan runcit peralatan informasi & komunikasi 0.9 peratus, jualan runcit makanan, minuman & tembakau jatuh 1.3 peratus dan jualan runcit barangan kesenian & rekreasi susut 1.4 peratus.

Walau bagaimanapun, jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar serta jualan runcit di gerai & pasar masing-masing mencatatkan pertumbuhan positif
sebanyak 20.8 peratus dan 5.9 peratus.

Bagi perbandingan bulanan, perdagangan runcit naik 2.9 peratus dengan semua kumpulan dalam subsektor ini mencatatkan pertumbuhan positif. – MalaysiaGazette