Jumlah perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) dan KTM antara bandar mulai 14 Oktober ini berikutan kebenaran rentas negeri oleh kerajaan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah jumlah perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) dan KTM antara bandar mulai 14 Oktober ini berikutan kebenaran rentas negeri oleh kerajaan.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata, jualan tiket akan bermula pada hari ini mulai pukul 3 petang untuk perjalanan sehingga bulan Disember.

Katanya, KTMB menawarkan diskaun sebanyak RM5 untuk 10,000 penumpang terawal bagi pembelian tiket yang berharga RM40 ke atas dengan kod promo BOLEHRENTAS dan tawaran itu bermula dari 14 hingga 24 Oktober.

“Perkhidmatan ETS akan beroperasi dengan 12 servis setiap hari berbanding dua pada ketika ini. Laluannya meliputi sektor Gemas – Padang Besar, KL Sentral – Ipoh, Gemas – Butterworth dan sebaliknya.

“Empat perkhidmatan Ekspres Selatan di sektor Gemas – Johor Bahru Sentral dan dua perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran di sektor Tumpat – Johor Bahru Sentral akan beroperasi setiap hari, setelah digantung sementara operasinya semenjak pelaksanaan PKP 3.0.

“Shuttle Timuran di sektor Kuala Lipis – Tumpat kekal beroperasi dengan 10 perkhidmatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Zain berkata, secara keseluruhan, perkhidmatan KTM Antarabandar akan beroperasi dengan 16 perkhidmatan.

Bagi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pula katanya, kakitangan barisan hadapan KTMB akan memastikan hanya mereka yang lengkap divaksin sahaja
dibenarkan menaiki tren dengan menunjukkan sijil digital pada aplikasi MySejahtera atau kad vaksinasi Covid-19 sebagai bukti.

Dalam pada itu beliau berkata, penumpang perlu berada di stesen sekurang-kurangnya sejam lebih awal sebelum perjalanan bagi pemeriksaan dokumentasi dan pemeriksaan suhu.

Ujarnya, pemantauan oleh anggota polis bantuan KTMB, khususnya, akan dibuat di semua stesen dan di dalam tren bagi memastikan pengguna mematuhi SOP yang
dikuatkuasa.

Selain itu katanya, KTMB ingin menasihatkan orang ramai agar membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB bagi mengurangkan interaksi antara satu sama lain selain ianya lebih mudah, pantas dan efisien.

“Orang ramai digesa mendapatkan jadual waktu terkini serta maklumat semasa operasi tren menerusi laman sesawang atau layari saluran rasmi media baharu KTMB,” tambahnya. – MalaysiaGazette