Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. Anbalagan . Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Kanada ditemui maut selepas dipercayai terjun dari tingkat 12 sebuah kondominium di Pusat Bandar Puchong dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, pegawai polis yang bertugas di kaunter aduan Balai Polis Puchong Jaya telah menerima panggilan daripada seorang pengurus pengawal keselamatan kira-kira pukul 7.05 malam memaklumkan terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri di kawasan taman permainan di tingkat tujuh bangunan berkenaan.

Menurut beliau, sepasukan anggota kemudiannya telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan menjumpai satu mayat lelaki yang terbaring di kawasan pokok bunga.

“Seorang pekerja yang sedang menjalankan kerja-kerja mencuci telah ternampak tubuh badan manusia terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum menghubungi rakan sekerjanya dan memaklumkan mengenai penemuan tersebut.

“Pihak keselamatan kondominium turut membawa pihak polis ke sebuah unit dipercayai dihuni oleh mangsa yang berusi 78 tahun itu dan didapati dalam keadaan berkunci.

“Semasa pemeriksaan di dalam rumah, didapati terdapat sebuah kerusi di koridor dipercayai tempat mangsa berpijak sebelum terjun dari tingkat 12 ke tingkat tujuh. Selain itu, mangsa dipercayai tinggal bersendirian di rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut oleh anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor mendapati tiada sebarang unsur jenayah di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang bagi tujuan ujian saringan Covid-19 sebelum proses bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih diteruskan,” ujarnya.

A. A. Anbalagan berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette