Najib Razak

KUALA LUMPUR – Projek National Feedlot Center (NFC) gagal dimuktamadkan disebabkan oleh tindakan Menteri Kewangan di zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) Lim Guan Eng, dedah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dakwa Najib, selepas PRU14 syarikat NFC telah menulis kepada kerajaan bagi meminta kelulusan untuk pihak baharu mengambil alih projek ternakan berkenaan namun tidak mendapat kelulusan PH.

“Pembeli baharu ini dikatakan mempunyai kekuatan kewangan serta pelan menyeluruh untuk meneruskan dan menjayakan projek NFC.

“Tetapi, Menteri Kewayangan PH tidak mahu memberi kelulusan.

“Sebaliknya, mereka mengambil tindakan meneruskan saman sivil untuk menuntut syarikat NFC untuk membayar balik seluruh pinjaman itu.

“Tindakan ini boleh dianggap pelik jika niat dan keutamaan ialah untuk mendapat balik dana tersebut dan menjayakan projek,” demikian menurut Najib dalam satu kenyataan di Facebook.

Najib turut berkata bahawa projek ternakan itu adalah projek ternakan hasil daripada pinjaman RM250 juta, dan bukan geran percuma.

Tambah Najib, selepas diberi pinjaman itu, syarikat NFC mengalami kesukaran untuk meneruskan projek pada garis masa yang ditetapkan kerana ada beberapa projek infrastruktur sokongan yang merupakan tanggungjawab Kementerian Pertanian telah lambat dibina.

“Walaupun projek mereka telah diperlambatkan, syarikat NFC masih perlu menanggung kos faedah ke atas pinjaman itu.

“Oleh itu, mereka menggunakan sebahagian dari dana ini untuk pelaburan-pelaburan lain yang tidak ada kaitan dengan projek NFC untuk mendapat pulangan untuk membayar faedah pinjaman. Bagaimanapun, ini dipercayai telah melanggar syarat-syarat pinjaman.

“Dengan itu, pemilik NFC didakwa di dalam mahkamah semasa saya perdana menteri tetapi akhirnya, mahkamah mendapati mereka tidak menyalahi undang-undang,” kata Najib lagi.

Lebih daripada itu, Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa pentadbiran beliau juga menyita aset-aset mereka termasuk baki wang tunai sebanyak RM80 juta.

Bagaimanapun, jumlah itu tidak mencukupi untuk menjelaskan seluruh pinjaman RM250 juta itu.

Guan Eng ketika menjadi jawatan Menteri Kewangan berkata, berdasarkan Penyata Lengkap Pinjaman Kerajaan Persekutuan setakat 30 April 2019 daripada Jabatan Akauntan Negara, baki pinjaman NFC yang belum selesai kepada kerajaan berjumlah RM253.6 juta.

Guan Eng juga berkata PH ketika itu mengambil keputusan menuntut sepenuhnya jumlah pinjaman daripada NFC dan perkara tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 29 Ogos 2018 untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.