Seorang peserta memegang poster semasa berarak ke Bangunan Perdana Putra pada himpunan JUSTICE4ADIB Solidariti Suara Ummah di perkarangan Masjid Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 21 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa khas menyiasat kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim melantik pakar patologi kanan bagi membantu siasatan secara menyeluruh.

Pengerusi jawatankuasa tersebut Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pakar berkenaan akan melakukan siasatan secara menyeluruh untuk meneliti keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Koroner.

Dalam masa yang sama, pakar patologi yang dilantik itu akan menilai penemuan siasatan polis serta bidang lain mengenai punca kematian anggota bomba.

Wan Junaidi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, pakar tersebut akan diberikan tempoh masa untuk menyelesaikan penyelidikannya.

“Kerajaan serius untuk menyelesaikan kes ini, yang telah ditangguhkan sejak 2018. Jawatankuasa khas dijadualkan untuk bertemu lagi dalam satu bulan, setelah mendapat laporan dari jawatankuasa kecil ahli patologi kanan,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, Wan Junaidi mengadakan pertemuan mengenai jawatankuasa khas yang diumumkan baru-baru ini bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Perumahan, Kerajaan dan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Pertemuan itu diadakan di Bukit Aman, semalam selama lebih sejam.

Untuk rekod, Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan ketika berada di lokasi kejadian susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya pada 27 November 2018.- MalaysiaGazette