.Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh

KUALA LUMPUR – UMNO akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN)?

Itulah teka teki terbaharu timbul selepas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dilaporkan berkata demikian kepada media Melaka Hari Ini.

Kerjasama itu dikatakan akan diputuskan oleh presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Khamis ini.

Menurut media yang dipetik Ab. Rauf sebagai berkata, MT UMNO akan menentukan sama ada akan bekerjasama dengan PN bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Melaka akan datang.

“Tunggu sahaja (mesyuarat) MT nanti. Apa-apa akan dibincangkan dalam mesyuarat Khamis ini,” katanya ringkas.

Melaka dijangka berdepan dengan PRN selepas Ab. Rauf yang merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri itu mengumumkan pembubaran DUN berkenaan sebaik diterima oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

Nasihat agar DUN Melaka dibubarkan oleh Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan, sekali gus kerajaan negeri hilang majoriti untuk mentadbir.

Empat ADUN itu ialah dua dari UMNO dan masing-masing seorang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPM) serta bebas.

Mengikut perlembagaan, selepas DUN dibubarkan, satu pilihan raya negeri mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Bagaimanapun, ada pihak meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan Yang di-Pertuan Agong agar mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan PRN itu berikutan penularan wabak Covid-19.

Keputusan itu dijangka diumumkan minggu ini.

Jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal dengan keputusan akar umbi yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) tidak lama dulu, akan berlaku pertandingan tiga penjuru antara BN, PN dan PH. – MalaysiaGazette