Soffian Santong.

GEORGE TOWN – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan mengenai kejadian memukul dua gelandangan di hadapan sebuah bank di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini seperti yang tular menerusi media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata, kejadian terhadap dua gelandangan lelaki yang juga peminta sedekah itu berlaku pada 2 petang, Rabu lepas dan seorang daripada gelandangan itu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian pada hari sama.

“Menurut mangsa, dia bertindak merakam kejadian dua lelaki memukul seorang peminta sedekah menggunakan rotan di hadapan sebuah bank di Komtar menerusi telefon bimbitnya dan apabila tindakannya disedari kedua-dua lelaki itu, mereka turut memukulnya menggunakan rotan sama.

“Kejadian menyebabkan mangsa mengalami lebam di belakang badan, siku kanan dan betis serta dirawat di Hospital Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Soffian berkata, susulan laporan yang dibuat mangsa, polis menahan dua lelaki berusia 27 dan 43 tahun yang bekerja sebagai penyelia pembersihan di bangunan Komtar pada Ahad lepas bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas dua batang rotan yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, ujian air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah namun seorang daripadanya mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.

Menurut Soffian hasil siasatan yang dijalankan mendapati dua lelaki tersebut sering memukul peminta sedekah atau orang gelandangan yang berada di sekitar hadapan bank itu.

“Kedua-duanya kini direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dengan senjata. Kertas siasatan kes itu juga telah lengkap dan akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang hingga mendatangkan mudarat kepada orang lain sekali gus mengambil pendekatan bijak serta mengikut lunas undang-undang dalam menyelesaikan sebarang masalah.

Terdahulu tular menerusi Facebook dan Twitter tiga video berdurasi dua minit, 20 dan 45 saat antaranya memaparkan seorang lelaki mendakwa dipukul oleh beberapa individu di kawasan Komtar. – Bernama

— BERNAMA