Bendera Amerika Syarikat

 

WASHINGTON – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) sedang menyiasat aduan baharu tentang kecederaan otak yang dikaitkan dengan sindrom Havana di Kedutaan Amerika Syarikat di Colombia, kata seorang pegawai kanan pentadbiran menjelang seminggu lagi lawatan Setiausaha Negara, Antony Blinken.

Setakat ini belum dapat dipastikan jumlah individu yang mengalami gejala itu di premis kedutaan yang terletak di Bogota.

Mereka yang didakwa mengalami Sindrom Havana menderita penyakit misteri dan mengalami gejala sakit kepala, mual, pening dan kehilangan ingatan.

Jurucakap Jabatan Negara, Ned Price berkata, mereka yang mengalami gejala sindrom itu akan diberi rawatan yang diperlukan.

Pegawai kanan pentadbiran yang mengesahkan laporan The Wall Street Journal yang  mengatakan sekurang-kurangnya dua pegawai kedutaan mengalami gejala sindrom Havana

Presiden Ivan Duque dari Colombia mengakui mengetahui tentang laporan tersebut.

Dalam wawancara dengan The New York Times, Duque berkata, perkhidmatan perisikan Colombia juga sedang melakukan siasatan.

Lebih daripada 200 pegawai kerajaan AS – polis, diplomat, tentera dan lain-lain – telah menderita penyakit itu sejak lima tahun yang lalu dalam misi diplomatik di beberapa negara, termasuk di Cuba.

Laporan mengenai sindrom itu di Hanoi, Vietnam, telah menyebabkan Naib Presiden AS, Kamala Harris menunda lawatannya pada bulan Ogos lalu.

Walaupun asal usul sindrom Havana tidak diketahui, namun gejala dialami oleh individu adalah serupa dengan kesan disebabkan oleh peralatan pengawasan yang digunakan oleh Rusia semasa Perang Dingin.

Namun, baru-baru ini pada musim panas ini, pegawai perisik AS berusaha mencari bukti bahawa keadaan itu adalah akibat serangan gelombang mikro oleh ejen Rusia – sebuah teori yang dikemukakan dalam sebuah kajian oleh Akademi Sains Nasional pada bulan Disember.

Lebih daripada separuh mangsa adalah pekerja Badan Perisikan Pusat (CIA) dan Kongres telah bersetuju untuk memberi sokongan lebih banyak kepada pegawai AS yang terkena gejala sindrom tersebut.

Bulan lalu, Jawatankuasa Perisikan juga meminta lebih banyak sumber untuk membantu mencari punca penyakit dan mengkaji semula pengendalian kes CIA. – NYTimes

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast