KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengadakan operasi lebih ketat dari semasa ke semasa di sempadan negara bagi menyekat aktiviti penyeludupan barang kawalan.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid mengakui walaupun kerja itu tidak mudah, tetapi operasi berterusan dilakukan dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasa lain.
“Kita mengadakan jaringan kerjasama yang rapat dan erat dengan Polis Marin, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kastam Diraja Malaysia dan agensi penguatkuasa lain.
“Kita juga mengadakan program, tindakan untuk mengatasi masalah ketirisan barang kawalan di sempadan dan melaksanakan beberapa pendekatan seperti penguatkuasaan secara proaktif dan tegas bagi membendung ketirisan itu.
“Selain itu, kita mengadakan pengauditan ke atas setiap rangkaian pengedaran barang kawalan dalam negara termasuk mengantung atau menarik balik lesen di bawah Skim Penstabilan Minyak Masak dan Pemegang Lesen Barangan Kawalan Berjadual (CSA) yang disyaki melakukan aktiviti penyelewengan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini.
Terdahulu, Senator Datuk John Ambrose meminta menteri KPDNHEP menyatakan apakah usaha kementerian dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membanteras penyelewengan dan ketirisan barang kawalan di sempadan.
Menurut Rosol, selain penguatkuasaan itu, KPDNHEP juga mengadakan beberapa operasi seperti Ops Ampai bagi mengatasi masalah penggunaan sistem gas berpaip terutama Gas Petroleum Cecair (LPG) di pusat dobi.
Begitu juga, katanya, Ops Goreng dijalankan untuk menangani penyelewengan minyak dengan mengempur kilang di seluruh negara, selain dalam proses membuat pindaan Akta Kawalan Bekalan 1991.
“Setakat ini daripada beberapa sekatan dilakukan, kita telah mengambil tindakan ke atas 12 syarikat pembungkus minyak masak dengan digantung sementara lesen borong dan lesen kuota skim pembekalan minyak masak mereka.
“Di samping itu, enam syarikat lesen Kebenaran di Bawah Kemajuan Petroleum 1974 (Kebenaran PDA) Petroleum yang mengedar petroleum juga digantung untuk dalam siasatan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan, Rosol menjelaskan, tindakan dan kerjasama berterusan juga dilakukan bagi mengawal penyeludupan beras dari negara jiran.
Bagaimanapun, katanya, beras berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), namun kerjasama tetap diadakan.
“Kadang-kadang mereka yang ada di sempadan ini kerja menyeludup barang ini sebagai satu profesion. Sebab itu, ketika PKP di Kelantan baru-baru ini, penduduk di sempadan mendakwa bekalan beras tidak ada.
“Mereka mendakwa beras dari Thailand tak dapat masuk. Ini yang berlaku, padahal beras dalam negara mencukupi. Maknanya mereka dari sempadan ini menggunakan beras dari negara jiran.
“Jadi, kita akan mengadakan operasi dari semasa ke semasa untuk mengelak berlaku penyeludupan barang dari Thailand ke Malaysia dan pengaliran masuk barang subsidi kita ke Thailand,” katanya. – MalaysiaGazette