Ketua Pegawai Jualan EMRAZ, Shahrul Izuan Shafie (tengah) bersama jemaah umrah mengaminkan doa sebelum berlepas sempena Perlepasan Kumpulan Pertama Jemaah Umrah Emraz Travel & Tours Sdn Bhd selepas pembukaan sempadan Negara di Balai Antarabangsa KLIA, Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 OKTOBER 2021.

SEPANG- Menjadi kumpulan pertama dari Malaysia menunai umrah selepas setahun lebih COVID-19 melanda benar-benar menjadi ujian.

Ibadat yang begitu mudah dibuat, kini tidak lagi sama.

Hukum hakamnya tidak berubah, cuma cara melaksananya amat sekali berbeza.

Berdasarkan perkembangan yang berlaku, COVID-19 telah memberi “penangan” yang benar-benar menguji kesabaran.

Realitinya, sama seperti urusan duniawi, penggunaan prosedur operasi standard (SOP) turut digunapakai demi mengekang penularan atau secara khususnya, menjaga kemaslahan umat.

Pakej pertama yang dikendalikan Emraz Travel and Tours menjadi perintis yang membawa jemaah Malaysia melaksanakan ibadat umrah di Tanah Suci.

Cabaran bermula daripada awal lagi kerana kerajaan Arab Saudi menetapkan syarat ketat untuk memasuki negara.

Bukan setakat perlu vaksin penuh, jenis vaksinpun diambil kira.

Daripada 25 orang yang sepatutnya melakukan ziarah ini, hanya 11 sahaja yang dapat peluang ke sana kerana Riyadh menetapkan syarat hanya mereka yang menerima suntikan vaksin Pfizer dan Astra Zaneca sahaja dibenarkan.

Bagi yang disuntik dengan vaksin seperti Sinovac dan Sinopharm dan lain-lain, perlu mendapat dos penggalak.

Namun dengan jemputan yang diterima pada Isnin lepas atau 11 Oktober, ramai yang mampu setakat memasang niat kerana suntikan ketiga mempunyai tempoh matangnya.

Wartawan MalaysiaGazette, Razali Awang dan jurugambar Mohd Hazrol Zainal turut menyertai kumpulan tersebut dan akan menyampaikan laporan langsung mengenai suasana baharu menunaikan umrah.

Wartawab MalaysiaGazette  Razali Awang (kanan) bersama jurugambar, Mohd Hazrol Zainal  turut menyertai Kumpulan Pertama Jemaah Umrah Emraz Travel & Tours Sdn Bhd  di KLIA, Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 OKTOBER 2021.

Berdasarkan taklimat yang diberikan, semua jemaah yang pergi hanya dapat melaksanakan umrah sekali.

Perkara itu dipantau penuh kerajaan Arab Saudi melalui penggunaan aplikasi Tawakalna dan Eatmarmana. Ia sama seperti MySejahtera di negara kita cuma Tawakalna bersifat umum dan tidak perlu diimbas.

Dalam bahasa mudah ia ibarat pas.

Manakala Eatmarna adalah aplikasi yang digunakan untuk beribadat, membuat tempahan slot untuk memasuki Masjidil Haram, umrah ziarah Makam Rasulullah dan Raudah.

Berdasarkan syarat yang diberikan Eatmarna memberi peluang kepada pemohon melakukan ibadat umrah hanya sekali dalam tempoh 15 hari.

Ia bermakna jemaah yang pergi kali ini hanya berpeluang melaksanakan sekali sahaja umrah kerana berada di sana 10 hari, 12 malam.

Namun begitu, ada berita baik yang baharu sahaja diumum di mana pada asalnya 60,000 slot umrah sehari dibenarkan tetapi kini dinaikkan ke 100,000.

Inilah realiti, sempadan negara telah dibuka tetapi untuk memasuki Tanah Haram menjadi satu lagi ujian. – MalaysiaGazette