Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Semua operasi dalam sektor pembinaan tidak lagi memerlukan surat kebenaran melalui Sistem Pengurusan Pintar COVID-19 (CIMS) 3.0, susulan kebenaran merentas negeri bagi mereka yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagaimanapun, operasi dalam sektor pembinaan masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) semasa.

“Bagi memastikan wabak COVID-19 dapat dibendung di tapak pembinaan, semua penggiat industri diingatkan supaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semua pekerja hendaklah dipastikan bebas daripada COVID-19 sebelum dibenarkan bekerja di tapak bina. Majikan perlu memastikan semua pekerja mengimbas MySejahtera atau mengisi buku kehadiran sebelum memulakan kerja setiap hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fadillah, sekiranya pekerja didapati mempunyai gejala COVID-19, mereka perlu menjalani ujian saringan COVID-19 dan jika terdapat kes positif di tapak bina, majikan perlu melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Beliau turut mengingatkan penggiat industri untuk terus memastikan semua peruntukan Akta 520 (Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia), Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dan Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990) dipatuhi setiap masa. – Bernama